Patience

Tahun 2020 tahun tak best. Tahun penuh ke-tak-best-an. Tahun kurang duit; tahun banyak sakit; tahun tak best. Kalau masa kecik dulu aku nampak dunia tahun 2020 penuh dengan hover-board, kereta terbang, dan semua orang akan ada detik slo-mo Lee Majors 6 Million Dollar man. Tapi realiti dunia tahun 2020 penuh dengan kematian, kucar-kacir demokrasi dunia, pengkhianatan politik tempatan dan detik asyik lupa pakai litup muka bila nak keluar rumah. Nasib baik aku jumpa Mannequin Pussy. Faraj plastik yang tenangkan aku dalam tahun yang tak tenang ini, dengan album mereka Patience.

Ia diterbitkan tahun 2019, tapi aku jumpa tahun ni melalui leteran Jason Mantzoukas dalam podcastnya. Bila terperuk di rumah dalam MCO apa yang nak buat kalau bukan dengar podcast. Ada banyak podcast. Dari situ aku cuba check-it-out dan ternampak album ketiga mereka, Patience, dihias dengan gambar bumi terbakar. Aku fikir memang kena dengan tema tahun 2020, jadi terus aku beli lagu-lagunya melalui app bandcamp (www.bandcamp.com). Aku beli macam aku beli benda lain tahun ni: atas talian. Masa itu takdenya nak ke kedai rekod, bersembang dengan tuan punya kedai, belek vinyl ke, kaset ke, CD ke. Tahun 2020 langsung tak best.

Ada nikmat dalam Patience. Laungan vokalis Marisa Dabice aku terasa dekat dengan jiwa aku. Rupa-rupanya dia, dan pemain guitar Athanasios Paul, mula buat muzik selepas terpaksa balik kampung untuk menjaga ibu yang sakit angin ahmar. Patutlah aku rasa senang dengan pekikannya, seperti dalam lagu ‘Drunk I’ yang melepaskan sesuatu terpendam dalam 53 saat; merah dengan amarah tetapi ada kesedihan juga di situ.

Korus untuk ‘In Love Again’ mengingatkan aku ada kehidupan dalam murung sakit; bukan semua gelap dalam tahun 2020 dan ia akan cerah nanti. Laungan vokalis dan geseran efek guitar Dabice dan Paul dalam lagu itu disokong oleh petikan bass dan hentak drum yang tidak leka. Seperti dalam ‘Who You Are’, Colins Rey Regisford (Bass) dan Kaleen Reading (Drums) bergerak terus ke hadapan memaksa si pendengar mengangguk kepala dengan iramanya. Ini juga terdengar dalam ‘Fear/+/Desire’ dengan dendangan suara lembut Dabice di tusuk nyaring guitar dan pelukan kuat bass dan drum, menghasilkan satu balada yang terasa garang.

Tapi mari kita bincang lagu ‘Drunk II’. Aku tak habis mendengar ‘Drunk II’. Ia ada kuasa ke atas jiwa aku. Kuasa yang membawa aku ke tempat selamat, tempat yang membenarkan aku bongkar segala kelemahan aku yang aku rahsiakan dari orang; tempat tanpa hukuman atau rasa malu. Yang lemah itu disambut dengan kekuatan dalam keinsafan. Aku tak habis mendengar ‘Drunk II’.

Aku jumpa Patience dalam kelam 2020 yang masih marak terbakar ni, dan ia memberi aku semangat untuk marahkannya, jeritkan rasa tidak puas hati aku terhadapnya. Tetapi ia juga membenarkan aku untuk lepaskan semua perasaan amarah itu dari jiwa aku, supaya ada ruang untuk aku isikan dengan sedikit harapan supaya aku boleh terus melangkah ke hari esok dengan berani.

LINKS: mannequinpussy.com mannequinpussy.bandcamp.com

Leave a comment